Bayi Diserang Biawak Lapar


Bayi perempuan berusia lapan bulan menerima 50 jahitan selepas cedera di bahagian muka dan kepalanya setelah diserang oleh seekor biawak ketika berada di dalam walker, di hadapan pintu dapur rumahnya di Pulau Tioman pagi semalam.



Dalam kejadian di kuarters pekerja Berjaya Resort pada 10 pagi itu, bayi berkenaan Nor Hidayah Abdul Rahman dilaporkan ditinggalkan di situ seorang diri sementara ibunya Noraudah Maisarah, 39, seorang suri rumah sedang menyenduk bubur di dapur.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata secara tiba-tiba datang seekor biawak dari arah luar terus menyerang bayi malang berkenaan.

"Melihat keadaan itu, wanita berkenaan terus bertindak menyelamatkan anaknya dan menghalau haiwan berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di  sini hari ini.


Kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada bapa mangsa Abdul Rahman Ismail, 38, seorang penyelenggara di resort berkenaan yang ketika itu sedang bekerja, sebelum dilaporkan kepada pihak polis.


Johari berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Daerah Mersing sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu untuk mendapatkan rawatan lanjut. 
"Pihak Jabatan Perhilitan dimaklumkan tentang perkata tersebut untuk tindakan lanjut," katanya. Sementara itu di Johor Baharu, bayi malang berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di HSA.  Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata doktor dan kakitangan HSA terus memantau keadaan kesihatan bayi terbabit di wad kanak-kanak hospital berkenaan selepas dipindahkan dari Hospital Mersing semalam. "Keadaan bayi itu stabil. Bayi terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka akibat dicakar haiwan itu dan doktor mencuci luka itu serta menjahitnya.  "Keseluruhannya, lebih kurang 50 jahitan tetapi doktor menggunakan jarum dan benang paling halus. Luka paling panjang 8cm di atas kening kiri berbentuk 'L'. "Pihak hospital terus memantau keadaan kesihatannya terutama di bahagian yang mengalami kecederaan itu kerana bimbang dijangkiti bakteria," katanya ketika dihubungi. Menurut Ayub, bayi perempuan itu dimasukkan ke wad di HSA 8.30 malam semalam selepas menempuh perjalanan selama beberapa jam dari Mersing.

Biawak serang bayi mungkin disebabkan lapar, kata Perhilitan


Biawak yang menyerang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di kuarters pekerja di Berjaya Resort, Pulau Tioman pagi semalam berkemunginan dalam keadaan lapar. 

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Khairiah Mohd Shariff berkata biawak daripada spesies biawak air itu amat jarang menyerang manusia kecuali merasa terancam atau lapar. 

"Haiwan liar itu mungkin terlalu lapar dan menganggap bayi berkenaan sebagai makanannya sehingga menyerang dan menggigit muka mangsa," katanya ketika dihubungi di Kuantan, semalam. 

Khairiah berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian serangan biawak terhadap Nurhidayah Abdul Rahman yang mengakibatkan luka sepanjang enam sentimeter di bahagian muka bayi malang tersebut. 

Beliau tidak menolak kemungkinan ia juga berpunca daripada faktor pengabaian soal kebersihan di kawasan sekitar sehingga menjadi tarikan kepada haiwan liar itu memasuki rumah untuk mencari makanan. 

Sehubungan itu, Khairiah menyeru pihak pengurusan resort berkenaan supaya mempertingkat aspek kebersihan. 

Antaranya termasuk memastikan pembuangan sisa makanan dilakukan secara lebih teratur untuk mengelak kawasan itu menjadi tarikan kepada haiwan berkenaan. 

Dalam masa sama, katanya Perhilitan juga menghantar anggotanya ke kawasan kejadian bagi menyiasat punca sebenar haiwan itu menyerang manusia. – Bernama

0 Response to "Bayi Diserang Biawak Lapar"

Post a Comment