CEO WhatsApp : Dari Pencuci Lantai Ke Jutawan Teknologi

Koum, salah seorang pengasas WhatsApp
Jan Koum, salah seorang pengasas WhatsApp
Tokoh-tokoh teknologi selalunya datang dari keluarga yang berada. Mark Zuckerberg adalah anak kepada pasangan doktor gigi dari keluarga kelas menengah-atas. Bill Gates pula secara teknikalnya, adalah seorang jutawan sebelum beliau memulakan Microsoft lagi pada tahun 1975. Bagi pengasas Google pula, Larry Page, ibu dan bapa beliau adalah professor , begitu juga dengan Sergey Brin, bapa beliau juga seorang profesor dan ibunya adalah merupakan salah seorang penyelidik di NASA.


Tapi,  bagi Jan Koum, iaitu salah seorang pengasas kepada aplikasi WhatsApp, yang telah dibeli oleh pihak Facebook pada nilai $19billion, mempunyai kisah hidup yang sedikit berbeza.

Dibesarkan Di Ukraine

Jan Koum dibesarkan di rumah yang tidak memiliki pemanas air, di sebuah perkampungan kecil yang terletak di luar Kiev, Ukraine. Ibu bapa beliau juga jarang menggunakan telefon kerana takut perbualan menerusi telefon mereka dipintas oleh pihak kerajaan secara rahsia. Pengalaman tersebut, menyebabkan Koum amat menitikberatkan tentang isu perlindungan maklumat pengguna di dalam aplikasi WhatsApp.

Pada usia 16 tahun, Koum dan ibunya telah berpindah ke Mountain View disebabkan masalah politik yang agak teruk di Ukraine. Mereka telah tinggal di sebuah apartment kecil yang mempunyai dua bilik. Bapanya telah meninggal pada tahun 1997 sebelum mereka sempat berpindah ke Mountain View. Untuk menampung sara hidup, ibunya telah bekerja sebagai penjaga bayi dan beliau pula membantu ibunya mendapatkan pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai pencuci lantai di pasaraya. Apa yang menyayat hati, ibunya telah disahkan menghidap kanser dan meninggal dunia pada tahun 2000.


Kehidupan Remaja

Di sekolah, Koum adalah seorang pelajar yang agak nakal. Namun pada usia 18 tahun, beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk belajar tentang komputer, beliau akan membeli buku-buku berkaitan rangkaian komputer di kedai buku terpakai dan akan memulangkannya semula selepas beliau habis membacanya. Beliau juga pernah menyertai kumpulan hackers yang diberi nama woowoo dan pernah memecah masuk server Silicon Graphics dan seringkali juga berbual dengan pengasas Napster, Sean Fanning menerusi IRC.

Kemudian, Koum telah melanjutkan pelajarannya di Universiti San Jose dan bekerja secara sambilan di Earnt & Young sebagai penguji keselamatan. Disitu, beliau telah duduk berhadapan dengan meja Brian Acton (pengasas bersama WhatsApp), yang pada ketika itu bertugas untuk menyemak sistem pengiklanan syarikat.

Berbeza dengan Koum, Acton, adalah merupakan seorang graduan sains komputer dari Universiti Stanford, beliau membesar dengan bermain golf di Florida. Pada satu ketika, bapa Acton pernah mencuba untuk menjadi pemain golf profesional. Ibunya pula adalah pengasas kepada sebuah syarikat penghantaran udara.


Bekerja Di Yahoo

Enam bulan kemudian Koum ditemuduga di Yahoo dan mendapat pekerjaan sebagai seorang jurutera infrastruktur. Namun begitu, dia masih lagi belajar di Universiti San jose. Dua minggu selepas beliau bekerja, salah satu server pelayan syarikat rosak. Pengasas bersama Yahoo, David Filo, telah menghubungi beliau menerusi telefon bimbit dan meminta bantuannya. Secara perlahan, Koum menjwab “Saya dalam kelas”.  “Apa *tut* yang kau buat dalam kelas?” Kata Filo. “Datang segera ke pejabat!.”

Selepas peristiwa itu, Koum telah berhenti belajar dan tidak menamatkan pengajiannya.
Selama 9 tahun Acton dan Koum bekerja di Yahoo, beliau telah melihat Yahoo turun-naik-turun-naik. Acton juga telah melabur ke beberapa syarikat dot com dan kehilangan beberapa juta dollar pada zaman letupan dotcom (dot com buble burst).

Pada tahun terakhir di Yahoo, mereka telah ditugaskan untuk membantu projek Panama, iaitu sebuah projek platform pengiklanan di Yahoo. Mereka sangat tertekan dan merasa benci dengan iklan, “Berurusan dengan iklan, adalah perkara yang sangat menyedihkan. Anda tidak membuat kehidupan sesiapa bertambah baik dengan menjadikan pengiklanan itu bertambah baik.” kata Koum. Akhirnya, pada tahun 2007, berbekalkan wang simpanan sebanyak $400,000 di bank,  Acton dan Koum telah berhenti dari Yahoo dan mula mengembara ke Amerika Selatan.


Kehidupan Selepas Yahoo!

Selepas  meninggalkan Yahoo, kehidupan mereka tidaklah begitu berkembang.
Hinggalah pada awal tahun 2009, Koum telah membeli sebuah iPhone dan mula mendapat idea untuk membangunkan WhatsApp. Ianya adalah gara-gara disebabkan kecewa dengan aplikasi Skype, kerana beliau seringkali terlupa kata laluan akaun beliau di Skype. Jadi, beliau terfikir untuk membuat sebuah aplikasi yang hanya memerlukan nombor telefon sebagai tanda pengenalan pengguna.

Beliau telah bertemu dengan Igor Solomennikov, iaitu seorang pembangun aplikasi di RentACoder.com untuk menghasilkan aplikasi WhatsApp. Pada 24 Feb 2009, iaitu pada tarikh harijadi Koum, dengan pantasnya, beliau telah mendaftarkan syarikat WhatsApp Inc di California, walaupun pada ketika itu, aplikasi WhatsApp masih lagi belum dihasilkan.  Pada permulaannya, aplikasi WhatsApp seringkali  “crash” dan tersangkut. Ia membuatkan Koum hampir berputus asa dan merancang untuk mencari kerja dan bekerja semula.


Bertemu Sahabat Lama

Selepas itu, beliau telah menghubungi Acton yang ketika itu masih lagi tidak bekerja dan permohonan beliau untuk bekerja di Facebook juga baru sahaja ditolak. Koum telah menceritakan kepada Acton tentang tentang idea startup beliau, iaitu aplikasi WhatsApp yang sering bermasalah. Kemudian, mereka bertemu dan Acton telah memasang aplikasi WhatsApp di telefon beliau dan mencubanya.

Setelah mencubanya, Acton merasakan ianya satu pengalaman baru yang sangat menarik di dalam dunia permesejan. Ianya lebih berkesan berbanding sistem MMS yang seringkali bermasalah di dalam menghantar gambar dan video.

Selepas itu, mereka berdua bertungkus lumus untuk memperbaiki aplikasi WhatsApp tersebut. Mereka juga telah menyewa sebuah sudut kecil di pejabat yang sama dengan Evernote. Namun begitu, mereka dipaksa keluar selepas pihak Evernote mula berkembang dan mereka telah membeli keseluruhan bangunan pejabat tersebut.

Pada bulan Oktober 2009, Acton telah berjaya  menarik 5 orang bekas pekerja yahoo untuk melabur sebanyak $250,000 dalam projek WhatsApp mereka. Hanya pada awal tahun 2010, barulah WhatsApp mampu menjana pendapatan secara stabil sebanyak $5,000 sebulan.  Pada ketika itu juga, mereka menerima banyak email dari pengguna iPhone yang mahu menggunakan WhatsApp  untuk menghantar mesej kepada rakan mereka yang menggunakan Blackberry. Ditambah lagi dengan permintaan dari pengguna-pengguna Android yang semakin berkembang pada ketika itu.

Pada awal tahun 2011, WhatsApp telah menjadi aplikasi paling popular dan menduduki carta top 20 di App Store dan pada ketika itu, mereka tetap dengan keputusan mereka untuk tidak meletakkan sebarang iklan pada aplikasi WhatsApp.

Melihat kepada perkembangan WhatsApp, pihak Sequioa telah bersetuju untuk melabur sebanyak $8 juta ke dalam syarikat mereka. Dua tahun selepas itu, apabila pengguna WhatsApp telah mencecah 200,000 orang pengguna aktif, pihak Sequioa telah menambah pelaburan mereka sebanyak $50 juta dan menjadikan syarikat WhatsApp bernilai $1.5 billion.

Hari ini, Koum dan Acton telah menjadi antara  orang yang terkaya di dunia dan menjadi ikon yang popular di dalam dunia teknologi selepas facebook telah bersetuju untuk membeli syarikat tersebut pada nilai $19 billion.


0 Response to "CEO WhatsApp : Dari Pencuci Lantai Ke Jutawan Teknologi"

Post a Comment