Kejayaan Nabi Ibrahim Menghadapi Semua Dugaan


  Berkali-kali terfikir, mengapa nama Nabi Ibrahim yang kita sebut dalam selawat tahiyyat akhir, 
bukannya nabi-nabi lain. Dan selawat di tahiyat itu merupakan selawat terbaik di antara
 banyak-banyak selawat. Alhamdulillah, secara tidak sengaja jawapannya ada di buku yang 
selama ini di simpan dalam almari. Buku yang dihadiahi kak Umi syahuda dan suami, rakan 
ofis sewaktu Latihan Industri di JAIS. PERBENDAHARAAN AL-QUR’AN JILID KE 5. 
Jawapan kepada tanda tanya tersebut wujud pada ayat al-Qur’an, Surah al-Baqarah ayat 124.
 Huraian tafsir ayat tersebut sangat lengkap dan terperinci dalam buku berkulit hijau berhiaskan 
bunga tanjung itu.


            Berikut merupakan makna ayat ke 124 dari surah kedua iaitu surah al-Baqarah:

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah 
(suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah
 berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat 
manusia.” Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga 
dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).” Allah berfirman: “(Permohonanmu 
diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak menjangkau orang yang zalim.”


Nabi Ibrahim telah dilantik oleh Allah untuk menjadi Imam bagi umat manusia.

Berdasarkan maksud ayat di atas, Allah telah menguji nabi Ibrahim dengan beberapa kalimah. 
Pengertian kalimah pada ayat ini bermaksud tugas yang disyariatkan oleh Allah s.w.t untuk
 disempurnakan oleh Nabi Ibrahim. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim berjaya 
menyempurnakannya lantas Allah s.w.t melantik baginda menjadi Imam.
            Sebahagian ulama’ memperincikan ‘kalimah’ dengan mengatakan bahawa ia
 merujuk kepada 40 perintah Allah (s.w.t), di mana perintah-perintah itu adalah ajaran
 syariat yang terkandung dalam beberapa ayat al-Qur’an. Antaranya adalah 10 perintah 
pada surah at-Taubah:112, 10 perintah dalam surah surah al-Mu’minun ayat 1-10, 10 perintah 
dalam surah al-Ahzab:35 dan 10 perintah lagi dalam surah al-Ma’arij ayat 22-34.


10 perkara yang dinyatakan dalam Surah at-Taubah:112
Maksudnya:
Mereka itu ialah orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji Allah,
 yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan islam), yang ruku’, 
yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang mencegah berbuat kemungkaran, 
serta yang menjaga batas hukum-hakam Allah. Gembirakanlah orang yang beriman (yang 
bersifat demikian).

10 perkara lagi yang disebut dalam surah al-Ahzab: 35
Maksudnya:
Sesungguhnya para lelaki dan perempuan yang beragama Islam, yang beriman, 
yang tetap dalam ketaatan, yang benar, yang sabar, yang khusyuk (kepada Allah), 
yang bersedekah, yang berpuasa, yang memelihara kehormatannya dan yang menyebut 
nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah telah menyediakan untuk mereka 
keampunan yang besar.

10 perkara yang lain pula disebut dalam ayat 1-9 surah al-Mu’minun:1-9
Maksudnya:
Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman (1). Iaitu mereka yang khusyuk melakukan 
solatnya (2). Dan mereka menjauhkan diri daripada segala perkara yang sia-sia (3).
 Dan mereka menunaikan zakat (4). Dan mereka menjaga kehormatan dirinya (5). 
Kecuali kepada isteri atau hamba sahaya mereka; maka sesungguhnya mereka tidak
 tercela (apabila mereka melakukan hubungan dengannya) (6). Sesiapa mengingini 
selain daripada demikian, maka mereka melampaui batas (7). Dan mereka menjaga 
amanah dan janji (8). Dan mereka tetap memelihara solatnya (pada waktunya) (9).

10 Perkara berikutnya adalah dari surah al-Ma’arij: 22-34
Maksudnya:
Kecuali orang yang mengerjakan solat (22). Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solat (23);
 dan mereka yang dalam harta-harta mereka tersedia bahagian yang tertentu (24). 
Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta (25). 
Dan mereka yang mempercayai adanya hari pembalasan (yang dibuktikan melalui 
amal-amal saleh) (26). Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya (27). 
Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorang pun) merasa 
aman terhadapnya (28). Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka (menjaga 
kehormatan mereka) (29). Kecuali kepada isteri atau hamba sahaya mereka, maka 
sesungguhnya mereka tidak tercela (30). Kemudian sesiapa yang mengingini selain
 selain daripada yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas (31). 
Dan mereka yang menjaga amanah dan janji mereka (32). Dan mereka yang 
memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi) (33).
 Dan mereka yang tetap memelihara solatnya (34).

Menurut riwayat Ibn Abbas (r.a), nabi Ibrahim (a.s) telah diperintahkan untuk bersuci, 
antaranya ialah dengan mencukur misai, berkumur-kumur, menyedut air ke dalam hidung, 
bersiwak (bersugi), menyikat rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluan, mencabut 
bulu ketiak, berkhatan dan berintinjak. Malahan, baginda a.s adalah orang pertama 
yang melakukan amalan-amalan sedemikian dengan cemerlang. Nabi Ibrahim (a.s) 
diperintahkan untuk berkhatan ketika berumur 80 tahun (Hadis riwayat Abu Hurairah).
           
            Selain itu, Nabi Ibrahim (a.s) juga diperintahkan untuk melakukan 
empat perkara yang merupakan amalan dalam ibadah Haji sehingga kini
 iaitu Tawaf, sa’i antara safa dan marwah, melontar jamrah dan tawaf ifadah.
 Baginda juga merupakan orang pertama menggunakan pedang dalam peperangan,
memakai seluar, berkhutbah di atas mimbar dan memegang tongkat ketika berkhutbah.

            Baginda Ibrahim (a.s) juga diuji dengan cubaan yang paling berat iaitu;

1. Diperintahkan oleh Allah agar menyembelih puteranya Ismail (a.s), tetapi Allah 
telah menggantikannya dengan seekor kibasy.
2. terpaksa berpisah dengan keluarga dan kaumnya kerana kekufuran mereka.
3. Perdebatan baginda dengan raja namrud yang membincangkan mengenai ketuhanan 
akhirnya telah mengundang bahaya bagi dirinya. Baginda telah dibakar hidup-hidup oleh 
raja namrud tetapi telah diselamatkan oleh Allah (s.wt).
4. Baginda telah diduga dengan mengisbatkan kewujudan Tuhan melalui tadabbur (pengamatan) 
alam semesta melalui bulan, matahari dan bintang. Cabaran ini juga telah berjaya di atasi oleh 
Nabi Ibrahim (a.s), maka Allah (s.w.t) telah memerintahkan baginda supaya tunduk dan patuh
 serta menyerah diri kepada Allah (s.w.t) dan Baginda mematuhinya.

            Melalui prestasi nabi Ibrahim (a.s) yang cemerlang ketika menghadapi 
pelbagai dugaan ini, akhirnya Allah (s.w.t) telah memberi anugerah al-Bara’ah (kebebasan 
daripada neraka) dan diangkat oleh Allah s.w.t menjadi imam dalam pelaksanaan ibadah haji 
dan pemimpin bagi seluruh umat manusia. 

            Nabi Muhammad s.a.w menyatakan bahawa rahsia kejayaan nabi Ibrahim (a.s) dalam 
menghadapi semua dugaan dan cabaran ialah membaca satu amalan zikir seperti mana sabda 
Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

Mahukah aku khabarkan kepada kamu mengapa Allah (s.w.t) memberi 
gelaran Khalil kepada Nabi Ibrahim a.s yang berjaya menghadapi semua dugaan, 
iaitu kerana Baginda membaca Fasubhanallahi HiinaTumsuuna wahiinatushbihuun 
(ayat 17 surah ar-Rum )sehingga akhir ayat.

 . 

﴾فَسُبحٰنَ اللَّهِ حينَ تُمسونَ وَحينَ تُصبِحونَ ﴿١٧
(17) (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu 
berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.

Selain itu, Nabi Ibrahim (a.s) juga tidak pernah lupa memohon kepada Allah 
agar dikurniakan keturunan yang baik dan agar Baginda menjadi Imam bagi kaumnya. 
Disebabkan itulah kebanyakan nabi-nabi adalah berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim
 seperti rasulullah s.a.w sendiri

0 Response to "Kejayaan Nabi Ibrahim Menghadapi Semua Dugaan"

Post a Comment