SRI AMAN 22 Nov. – Tiga pelombong warga asing maut selepas terowong laluan masuk menuju ke lombong arang batu Selantik di Pantu di sini meletup pagi ini.
Letupan yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi di terowong sedalam 69 meter itu turut menyebabkan 26 lagi pelombong cedera dengan 13 daripadanya parah.
Menurut Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Mat Jusoh Muhammad, kesemua 29 mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu berasal dari Korea Utara, Indonesia dan Myanmar.
Katanya, selepas letupan berlaku, pekerja lombong kuari milik syarikat Silantic Resources Sdn. Bhd. terus bergegas keluar menyelamat diri.
‘‘Letupan ini dipercayai bermula daripada percikan api kipas angin yang rosak, seterusnya menyebabkan kebakaran gas di dalam terowong dan meletup.
‘‘Kebakaran itu terpadam sendiri apabila kehabisan gas. Tiga mangsa maut merupakan rakyat Indonesia, Korea Utara dan Myanmar,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, 13 mangsa yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Serian dan Sri Aman sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching, manakala 13 lagi mangsa yang cedera ringan dirawat di Hospital Sri Aman, Hospital Serian dan Klinik Kesihatan Pantu.
‘‘Setakat ini, enam mangsa yang parah telah dikenal pasti iaitu Yang Chen Jin, Kim Chi Song dan Cheng Liang yang merupakan warga Korea Utara, dua warga Myanmar (Aum Umtok dan seorang lagi belum dikenal pasti) serta seorang warga Indonesia (Nurul Huda).
‘‘Maklumat kesemua mangsa masih belum diperoleh,’’ jelasnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 11.32 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba Sri Aman telah dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya sejauh 65 kilometer (km).
Katanya, pihaknya tiba di lokasi pada pukul 12.40 tengah hari dan keadaan di tempat kejadian sudah terkawal sepenuhnya, namun mereka masih membuat pemantauan untuk memastikan keadaan benar-benar selamat.
‘‘Mayat tiga mangsa yang maut akan dipindahkan ke HUS pada Isnin ini. Bagaimanapun, tiada maklumat lengkap mengenai mangsa.
‘‘Tiada mangsa yang terperangkap di dalam terowong tersebut dan punca sebenar kejadian sedang disiasat,’’ ujarnya.
Siasatan Punca Letupan Lombong Arang Batu Belum Dapat Dilakukan
SRI AMAN – Kerja-kerja menyiasat punca sebenar kejadian letupan lombong arang batu di Pantu, dekat sini masih belum dapat dilakukan setakat 6.30 petang tadi.
Ketua Balai Bomba Sri Aman, Ranger Moos berkata ini kerana pasukan operasi dan forensik kebakaran Bomba perlu mendapatkan pengesahan keselamatan daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sebelum boleh memasuki terowong lombong berkenaan.
“Hazmat perlu terlebih dahulu masuk ke dalam terowong berkenaan bagi memastikan tiada sebarang kebocoron gas atau menentukan jenis gas yang bocor di dalam terowong, selain memastikan keadaan selamat untuk dimasuki sebelum pasukan forensik dapat melakukan kerja-kerja siasatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Ranger berkata selain itu, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan daripada jurutera syarikat lombong arang batu berkenaan sama ada struktur terowong terjejas atau tidak disebabkan letupan yang berlaku itu.
“Hazmat dijangka tiba di lokasi petang ini. Jadi, buat sementara waktu pasukan operasi bomba akan memantau lokasi kejadian dan sesiapa pun tidak dibenarkan masuk ke dalam terowong itu,” katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati bomba masih mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu daripada penyelia lombong berkenaan.
Turut berda di lokasi kejadian ialah pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Sarawak.
Ranger berkata bomba dimaklumkan oleh penyelia berkenaan bahawa terdapat terdapat 119 pekerja termasuk warga China (15), Myanmar (29), Indonesia (19), Bangladesh (10) dan Korea Utara (46) yang bekerja di lombong berkenaan.
“Penyelia juga mengesahkan ketika kejadian, hanya 27 orang pekerja yang masuk ke dalam terowong lombong berkenaan,” katanya.
Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada percikan api kipas angin yang rosak dan seterusnya menyebabkan kebakaran gas dan letupan di terowong itu.
“Ketika kejadian, 27 pekerja itu berada pada jarak 450 meter di dalam terowong,” katanya.
Terowong berkenaan adalah sepanjang 700 meter. – BERNAMA
0 Response to "6Gambar: Tiga maut, 26 Cedera lombong meletup"
Post a Comment