Kisah Benar Pelajar Dapat Bantuan Allah Waktu Peperiksaan


Dalam dunia yang sudah rosak, ramai umat Islam sudah tidak memahami kehebatan dan keagungan Islam. Hati yang sudah lalai dengan Tuhan menjadikan mereka hidup dalam runtunan nafsu, syaitan dan yahudi. Kelalaian hati ini sentiasa meningkat dan terus meningkat. Tiada usaha untuk menarik hati agar kembali khusyuk kepada Tuhan. 


Ramai yang menolak hal-hal yang bersifat rohaniah, pelik dan ajaib. Sedangkan perkara sedemikian merupakan asas kepercayaan dalam Islam. Bukankah Tuhan itu maha ghaib dan maha pelik? Tuhan tidak boleh diakal-akalkan. Begitu juga sistem pentadbiran Tuhan mengemudi seluruh alam dengan kuasa dan ilmuNya yang Maha luas. Manusia tidak akan mampu menjangkau apa yang wujud di sebalik segala sesuatu. 

Cuma kadang-kadang Tuhan tunjukkan apa yang menjadi rahsia bagi sesuatu kejadian agar dijadikan iktibar oleh mereka yang ikhlas mencari kebenaran. Jadi belajarlah mengkaji apa yang tersirat di sebalik setiap kejadian. Bersangka baiklah dengan Tuhan atas apa jua yang ditimpakannya kepada kita. Tuhan tidak akan sia-siakan kita!!

Bacalah kisah berikut untuk melihat betapa kuasa Tuhan itu sangat tidak mampu dilogikkan. Bagaimana ianya terjadi? Kelihatan mustahil pada akal kita sedangkan kuasa Tuhan itu segala-galanya! Renungilah pengalaman menarik seorang pelajar dalam kisah ini. Pak Lang yakin setiap orang mempunyai kisah peliknya yang tersendiri!!

Ini adalah kisah benar yang berlaku di dewan peperiksaan di salah sebuah sekolah. Kisah ini diceritakan oleh salah seorang guru wanita yang berada dalam dewan peperiksaan tersebut.

Ceritanya begini :

Terdapat salah seorang pelajar masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan keletihan dan tertekan. Dia duduk di tempat yang telah dikhaskan untuknya. Kemudian, seperti pelajar-pelajar lain, dia juga menerima kertas soalan. Setelah berlalu masa menjawab soalan beberapa ketika, guru tersebut mendapatinya tidak menulis apa-apa pun pada kertas jawapannya. Keadaan itu berlanjutan sehingga berlalu separuh masa peperiksaan. Maka guru tersebut mula memberi perhatian yang lebih kepadanya.

Tiba-tiba guru itu melihat pelajar tersebut secara tergesa-gesa mula menulis dan menjawab semua soalan dengan pantas. Hal ini amat mengejutkan guru yang memerhatikannya sejak tadi. Pelajar tersebut menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik. Ini menambahkan lagi rasa ragu-ragu pada guru tersebut. Dia beranggapan pelajar tersebut telah menggunakan taktik baru dalam meniru. Tetapi guru tersebut tidak menjumpai apa-apa tanda yang pelajar itu telah meniru dalam peperiksaan.

Setelah pelajar itu menyerahkan kertas jawapannya, guru telah bertanya kepadanya apa yang berlaku sebenarnya. Dan jawapannya amat mengejutkan dan menyentuh perasaan. Tahukah anda apakah jawapan pelajar itu?

Pelajar tersebut menceritakan, “Semalam saya terpaksa berjaga sepanjang malam sehingga subuh. Saya dalam keadaan tidak sihat dan menjaga ibu saya yang sakit tanpa sempat untuk mengulangkaji untuk pepriksaan pada hari ini. Maka sepanjang malam saya menjaga ibu tanpa dapat melelapkan mata sedikit pun. Pagi ini saya datang menghadiri peperiksaan dengan harapan akan dapat menjawab soalan dalam peperiksaan ini. Saya melihat soalan-soalan namun tidak dapat menjawabnya. Saya sedih kerana saya pasti gagal dalam subjek ini. Apa yang mampu saya buat hanyalah berdoa. Bahkan saya berdoa dengan sepenuh hati kepada Allah. Saya mohon bantuanNya untuk saya dengan keberkatan amalan terbaik yang saya lakukan malam tadi iaitu berbakti kepada ibu saya semata-mata kerana Allah."

"Tidak lama selepas itu, Allah memakbulkan doa saya. Tiba-tiba saja berlaku sesuatu di depan saya - maksudnya di atas meja saya. Saya seolah-olah nampak buku teks bagi subjek tersebut terletak di atas meja. Bahkan saya ditunjukkan muka surat yang mengandungi jawapan bagi soala-soalan tersebut satu persatu. Saya pun mula menulis dengan pantas. Saya takut ianya hilang. Setiap habis menjawab, maka ditunjukkan pula helaian bagi jawapan soalan berikutnya. Itulah yang saya dapat dan amat bersyukur kepada Allah kerana menerima permohonan saya. Memang saya boleh dituduh meniru tetapi hakikatnya itu adalah pertolongan Tuhan untuk saya. Buku itu hanya wujud tanpa dapat dilihat orang lain!!"

Kisah yang menakjubkan ini menjelaskan betapa besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa. Ianya merupakan amalan yang paling Allah sukai. Maka Allah membalasnya dengan memberi bantuan sebegitu rupa di saat-saat dia sangat memerlukannya.

Maka kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa, berbaktilah kepada mereka untuk mencari keredaan Allah sebelum mereka pergi meninggalkan kita. 


0 Response to "Kisah Benar Pelajar Dapat Bantuan Allah Waktu Peperiksaan"

Post a Comment