Malas untuk menjaga diri dengan cara sihat dan selamat. Ramai mahu jalan pintas untuk kurus dan cantik sehingga sanggup mempertaruhkan nasib di tangan orang yang tiada kepakaran.
Antara kaedah popular untuk nampak cantik dengan cepat ialah rawatan sedut lemak. Rawatan ini untuk menghilangkan benjolan kecil lemak yang terkumpul di bawah kulit dan memperbaiki bentuk badan. Bahagian yang selalu diberi rawatan sedut lemak ialah ialah pinggul, abdomen (perut dan pinggang), paha, punggung dan muka. Bagaimanapun, kaedah ini hanya untuk membuang lemak dan tidak dapat mengatasi masalah selulit.
Bagaimanapun perlu diingat, rawatan sedut lemak hanya untuk tujuan kosmetik iaitu memperelokkan bentuk badan yang sekali gus membuatkan seseorang berasa lebih yakin dengan diri sendiri. Ia tiada kesan ke atas tahap kesihatan.
Walaupun ia proses membuang lemak, ia tidak menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana lemak yang disedut terletak di bawah kulit.
Malah bagi individu yang alami gejala lemak viseral akibat kegemukan di pinggang (ukuran pinggang melebihi 90 sentimeter bagi lelaki dan 80 sentimeter bagi perempuan), rawatan sedut lemak tidak menghilangkan masalah anda kerana lemak penyebab masalah ada di dalam abdomen.
Walaupun ia kaedah popular di seluruh dunia, bukan semua orang sesuai menjalani prosedur ini. Antara calon terbaik untuk rawatan sedut lemak ialah:
# Mempunyai berat badan normal atau lebih sedikit
# Mempunyai kulit anjal dan tegap. Individu yang ada masalah selulit tidak sesuai kerana kulit boleh alami ketidaknormalan akibat penyedutan terlalu banyak atau sedikit lemak pada bahagian tertentu
# Tahap kesihatan keseluruhan yang baik. Individu yang ada penyakit seperti kencing manis tidak dibenarkan menjalani kaedah ini kecuali jika penyakit mereka terkawal.
# Mengalami masalah pengumpulan lemak pada bahagian tertentu yang sukar atasi melalui diet dan senaman
Menurut Perunding Pembedahan Plastik dan Kosmetik Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr Lim Chai Leng, beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum anda menjalani rawatan sedut lemak, antaranya ialah mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan memilih doktor yang ada kelayakan atau kepakaran dalam bidang ini.
Ini kerana individu yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi mempunyai risiko tinggi mengalami komplikasi, terutama jika penyakit tidak terkawal.
Tidak dinafikan ramai keliru untuk memilih doktor, apatah lagi dengan kemunculan banyak pusat kecantikan dan klinik persendirian yang menawarkan rawatan membuang lemak.
“Jangan perjudi nasib anda di tangan orang yang tiada kepakaran atau ada kepakaran dalam bidang lain tetapi menawarkan perkhidmatan sedut lemak.
“Ini sangat berbahaya kerana menyedut lemak di bawah kulit memerlukan kemahiran. Pakar bedah plastik dan kosmetik boleh diumpamakan seperti ‘pengukir’ untuk mengubah keadaan seseorang menjadi lebih baik.
“Saya pernah menerima pesakit muda yang mempunyai paha tidak simetri. Bahagian dalam pahanya melengkung gara-gara rawatan sedut lemak tidak dilakukan dengan teliti. Ia bukan saja memalukan, tetapi pahanya kelihatan cacat dan tidak sama besar.
“Antara cara terbaik untuk mengetahui pakar dalam bidang ini ialah bertanya doktor di klinik yang sering anda kunjungi bagi masalah kesihatan keluarga. Biasanya doktor mempunyai kawan di kalangan pakar atau kenal pakar bedah plastik dan kosmetik.
“Ia dapat mengelak kita mendapatkan perkhidmatan individu yang tiada kepakaran,” katanya.
Setiap orang yang mahu menjalani rawatan ini perlu berbincang dengan doktor dan faham prosedur yang akan dilakukan. Doktor akan memberitahu pilihan terbaik untuk masalah anda, kos dan hasil yang boleh dijangka. Malah ketika ini anda berhak melihat sijil dimiliki doktor.
Apa yang dibimbangkan sekarang ialah adanya segelintir pihak mahu cepat untung dengan mengamalkan strategi pemasaran tidak bertanggungjawab — mengupah orang untuk memasarkan perkhidmatan di klinik mereka.
Antara cara dilakukan ialah memberi rawatan percuma jika seseorang itu mampu membawa sejumlah pelanggan baru.
“Ramai tidak mendapat maklumat secukupnya, terutama doktor yang benar-benar pakar untuk melakukan prosedur sedut lemak. Cari pakar yang tersenarai dalam daftar Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) atau Persatuan Persatuan Pakar Bedah Plastik, Estetik dan Kraniomaksilofasial Malaysia (Mapacs),” kata Dr Lim.
Hospital atau klinik?
Pilihan sama ada mahu menjalani rawatan sedut lemak bergantung kepada jenis rawatan — sama ada membabitkan bahagian kecil atau besar. Secara umumnya, rawatan sedut lemak adalah selamat selagi ia dijalankan pakar yang ada peralatan lengkap iaitu sistem pemantauan (bagi memantau tekanan darah dan nadi), elektrokardiogram (ECG), alat intravena (IV) dan cecair titis sehingga sekurang-kurangnya dua liter.
Prosedur sedut lemak boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu menyedut kurang satu liter, satu liter atau lebih dua liter lemak. Bagi prosedur kecil (satu atau kurang daripada satu liter lemak) boleh dilakukan di klinik yang ada semua kemudahan di atas.
Bagi prosedur besar (melebihi dua liter lemak), disaran dijalankan di hospital kerana bagi setiap liter lemak yang disedut, individu berkenaan kehilangan kira-kira 200 mililiter darah. Untuk prosedur besar (dua liter lemak), seseorang kehilangan sehingga 500 militer darah dan kehilangan ini perlu diganti dengan cecair titis sepanjang tempoh rawatan.
Sebelum pembedahan, anda diberi ubat bius (setempat atau menyeluruh). Sebaik ubat bius bertindak, pembedahan dimulakan menggunakan alat penyedut yang dilekatkan dengan kanula (alat besi kalis karat).
Lebihan lemak disedut menggunakan pam penyedut atau jarum besar. Tempoh rawatan berbeza mengikut jumlah lemak disedut.
Selain itu jika berlaku komplikasi akibat penyakit lain, pesakit boleh dihantar terus ke unit rawatan rapi dengan segera untuk dipantau sepanjang masa. Jadi isu lambat mendapat rawatan susulan tidak timbul jika dijalankan di hospital walaupun kosnya lebih sedikit berbanding di klinik.
“Rawatan sedut lemak hanya untuk mencantikkan bentuk badan. Bagi individu yang ada masalah kesihatan akibat lemak berlebihan dalam badan, pergi bersenam dan kawal makan. Ia memperbaiki tahap kesihatan, sekali gus mengurangkan kandungan lemak dalam badan.
“Rawatan sedut lemak kali kedua hanya boleh dilakukan enam bulan selepas rawatan pertama. Ia bertujuan memberi peluang kepada badan untuk stabil dan semua kesan ubat bius, terutama ubat bius menyeluruh, hilang sepenuhnya. Tidak boleh jalani rawatan sedut lemak berulang kali dalam tempoh singkat. Mesti beri masa untuk badan berehat dan sembuh kerana ketika proses sedut lemak ada banyak sel yang cedera,” katanya.
Seperkara lagi, rawatan sedut lemak bukan kaedah me ngurangkan berat badan dengan segera. Dr Lim berkata, berat badan sebelum dan selepas rawatan sedut lemak tidak banyak berbeza.
“Perut buncit atau boroi menandakan otot perut (abdomen) lemah. Ini sebabnya lemak cepat berkumpul di sini. Satu cara untuk mengatasinya ialah dengan jaga makan dan bersenam untuk menguatkan otot itu semula,” katanya.
Bagi yang ingin menjalani kaedah ini, Dr Lim menyarankan untuk lebih banyak membaca maklumat daripada sumber yang dipercayai.
Proses sedut lemak atau liposuction yang begitu popular dalam kalangan kaum Hawa,adalah proses menghapuskan lemak dari lapisan bawah kulit.Liposuction tak bererti membuang lemak-lemak tepu di bahagian perut sahaja.Tetapi proses liposuction ini boleh di aplikasikan dalam menyingkir lemak/selulit di bahagian punggung,dagu,lengan,betis,leher,dan bawah punggung
Bagi tujuan penyingkiran lemak,satu tiub berskala halus akan dimasukkan di bahagian perut si mangsa (lapisan hypodermis) dan kemudiannya akan disedut menggunakan mesin khas.Pembedahan liposuction ini mengambil masa 1 hingga 1.5 jam.Sekarang mari lihat proses sedut lemak di Russia
0 Response to "Artikel & 6 Gambar Proses Sedut Lemak"
Post a Comment