Kisah Derita Seorang Isteri Kedua Mempunyai Suami Miang dan Tips-Tips Menawan Hati Suami Miang..


SAYA berumur 29 tahun dan merupakan isteri kedua kepada suami yang kini berumur 40 tahun.

Isteri pertama suami sebaya dengannya. Usia perkahwinan baru masuk tahun kedua, tapi saya sudah tidak tahan dengan perangai miang si suami. Suami saya seorang guru sekolah menengah.

Ketika mengorat saya dulu, saya lihat kemachoannya, ketegasan dan tanda berhemah yang dibawa dalam perwatakannya.

Namun setelah mendirikan rumah tangga hampir setahun, baharu saya sedar suami saya seorang yang miang.

Di rumah dia mempamerkan sikap manja dan sedikit keanak-anakkan. Dan di luar pula, hatta di hadapan saya ketika berjumpa dengan pelajar-pelajarnya, dia mempamerkan sikap mengada-ngada dan miang.

Saya dapat lihat ada riak tidak senang di wajah anak muridnya yang datang membuat ulang kaji atau menghadiri kelas tambahan yang dia buat di rumah kami.

Ada masa saya lihat suami saya akan berdiri dekat dengan pelajarnya sambil membahasakan diri sebagai abang dengan intonasi penuh lembut.

Saya hairan dengan perubahan sikapnya itu. Hendak kata saya tidak melayannya dengan baik, lebih lagi. Saya layan dia seperti saya melayan seorang kanak-kanak. Baju, stokin pun saya yang sarungkan.

Sewaktu bercinta dulu, dia tidak pula menggatal dengan saya. Saya hanya tahu dia suami orang beberapa bulan sebelum kami bernikah tapi dek kerana sayang, saya abaikan statusnya dan meneruskan perkahwinan.

Madu pula baik dengan saya. Tapi saya tidak berani menceritakan perangai suami kepada madu. Bimbang dia sakit hati atau berfikir saya mereka-reka cerita.

Saya kini bekerja sebagai seorang pembantu tadika. Saya mohon nasihat doktor, bagaimana menawan hati suami miang keladi ini. Saya tak fikir suami mahu bernikah lagi, sebab dia bukan dalam kalangan orang senang.

Gaji seorang guru tak seberapa. Tapi tak tahulah jika dia ada niat lagi mahu tambah cawangan. Lagi pun perkahwinan kami masih baharu.

Zie, Klang.



APA KATA PAKAR – oleh Dr HM Tuah Iskandar al -Haj,


Tips mengurangkan miang suami

Hampir semua lelaki semula jadinya ‘miang’, maklumlah setiap lelaki normal pasti bersyahwat, yang membezakan adalah mereka yang pandai mengawal sifat itu dek dibatasi pengetahuan agama, menjaga imej di tengah masyarakat dan lain-lain sebab peribadi.

Sifat ini sebenarnya tidak hilang setelah seseorang lelaki itu berkahwin. Nafsunya sentiasa memuncak apabila terpandangkan wanita cantik, apalagi kalau wanita itu melayaninya, dia akan menjadi semakin gatal. Hingga ada ungkapan, ‘kalau tak miang bukanlah lelaki’.

Namun kebanyakan lelaki akan lebih terkawal apabila berumah tangga. Biarpun nafsunya bagai ombak yang sedang menggila, dia tetap ingat akan hukum ALLAH dan siapa dirinya, lalu berjaya mengawal dirinya daripada berbuat perkara-perkara yang tidak baik.

Suami anda boleh terjerumus kepada perbuatan yang lebih ‘daring’ andainya dia tidak berusaha mendidik dirinya sendiri, lebih-lebih jika pelajar-pelajar perempuan itu memberi ruang atau peluang untuknya terus menggatal. Seorang lelaki yang berpoligami tentunya seorang yang amat kuat soal ini.


Anda tentu faham apa yang saya maksudkan, bukan?

Oleh itu, di bawah ini saya berikan tiga panduan.


i. Seorang lelaki apabila mencecah umur 40 tahun, dia memang sedang macho.

Kalau diibaratkan buah nangka, sekarang nangka itu sedang sempurna masak dan enak kalau dimakan. Kalau diibaratkan kereta, ia bersedia untuk dipecut dengan laju kerana sempurna buatan dan selenggaraannya. Kalau diibaratkan rumah, ia adalah sebuah rumah yang telah sempurna dibina, enak dan selesa untuk didiami. Bermakna dia kacak luar dan dalam. Inilah saatnya seseorang lelaki itu ‘baligh kali kedua’.

Maksud saya, pemikiran, sikap serta prestasinya berulang sebagaimana dia mula-mula baligh pada usia remaja dahulu. Oleh yang demikian, usah terlalu risau, insya-ALLAH apabila usianya melepasi 40-an nanti, dia akan kembali ‘perlahan’. Usia 40 memanglah sedang matang, malah ada ungkapan berbunyi, Life begin at 40.


ii. Bantu suami dengan memberikannya layanan A1.

Tentu dia ada sebab hingga mengahwini anda sedangkan dia sudah ada isteri. Bongkar kelebihan-kelebihan yang dikagumi ini dan pamerkan selalu, moga-moga dia perasan bahawa apa yang diperlukan itu ada pada diri anda, justeru, dia tidak perlu terlalu miang lagi.

Kesilapan kebanyakan para isteri ialah mereka tidak lagi mempamerkan apa-apa yang dikagumi oleh suami terhadap diri mereka dahulu.

Misalnya kerap kusam di rumah, comot, cincai dan tidak mahu menghias diri. Kerap letih pada waktu suami sangat-sangat memerlukannya. Tiada sebab seorang lelaki hendak bersusah payah mencari di luar jika dia mendapat kesemuanya di rumah.


iii. Bawakan suasana orang beriman di dalam rumah tangga.

Kerap membaca al-Quran, kerap bangun solat malam dan kerap membuka rancangan-rancangan agama di radio dan televisyen.

Juga beli buku-buku motivasi keagamaan, saya cadangkan Komplikasi Jiwa Muslim, Membina Unggul Lelaki dan 101 Rahsia Penguat Nurani.

Letakkan sahaja buku-buku ini di atas meja di ruang tamu, jika dia tidak mahu membaca pun, tajuk-tajuk berkenaan cukup memberikan hentakan. Moga-moga usaha ini sedikit sebanyak membuatkannya segan kepada diri sendiri.

Memang nafsu masih menggila tetapi apabila melihatkan anda yang semakin cenderung ke arah keagamaan, timbullah perasaan untuk membuat perubahan diri. 


Sumber: Sinar Harian

0 Response to "Kisah Derita Seorang Isteri Kedua Mempunyai Suami Miang dan Tips-Tips Menawan Hati Suami Miang.."

Post a Comment