Mimpi dan Tehidu Bau Arwah Ibu yang telah meninggal Dunia



Soalan

Baru-baru ini ibu saya meninggal dunia. Selang beberapa hari, saya bermimpi berjumpa ibu. Saya meminta maaf kepadanya dan dia memaafkan saya. Bolehkah kita bermimpi berjumpa dengan seseorang yang sudah meninggal dunia?

Kemudian adik beradik saya menceritakan mereka terhidu ibu dan merasai kehadirannya. Ini berlaku sekali pun masing-masing berada di universiti yang berbeza, jauh dari kampung. Bolehkah roh orang yang meninggal dunia datang menziarahi orang yang hidup?


Penjelasan: 

Dua soalan di atas termasuk dalam kategori perkara ghaib dan manhaj kita sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam perkara ghaib adalah diam melainkan terdapat dalil sahih yang membicarakannya. Jika terdapat dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka kita beriman kepadanya tanpa menambah, mengurang atau mentakwilkannya. 

Terhadap soalan pertama, di kalangan para ilmuan generasi Salaf (tokoh-tokoh umat Islam pada tiga kurun pertama), ada yang berpendapat ketika tidur, roh orang hidup boleh pergi bertemu roh orang yang sudah meninggal dunia di alam barzakh. Setelah pertemuan, roh orang hidup dikembalikan sementara roh orang yang meninggal dunia kekal di tempatnya (alam barzakh). Ini semua berlaku dengan izin dan kurniaan Allah kepada roh orang yang hidup. Dalilnya adalah firman Allah yang bermaksud:

“Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa (roh) dari badannya, jiwa (roh) orang yang sampai ajalnya semasa matinya dan jiwa (roh) orang yang tidak mati dalam masa tidurnya. Kemudian Dia menahan jiwa (roh) orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa (roh) yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” [az-Zumar, ayat 42] Rujuk Tafsir Ibn Katsir, jld. 12, ms. 133-134 ketika mentafsirkan ayat di atas.

Walaubagaimana pun, apabila seseorang itu bermimpi menemui orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dia bezakan sama ada yang ditemui adalah orang yang dimaksudkan atau syaitan yang menjelma sebagai orang yang dimaksudkan. Ini kerana lazim berlaku seseorang itu bermimpi menemui seseorang, khasnya orang salih, padahal ia hanyalah jelmaan syaitan.

Cara membezakan ialah mengukur pesanan orang yang ditemui dalam mimpi, adakah ia selari dengan al-Qur’an dan sunnah yang sahih atau menyelisihinya. Jika orang yang ditemui berpesan kepadanya untuk bangun mendirikan Solat Witir, maka itu bukanlah syaitan. Sebaliknya jika dia berpesan untuk membaca surah al-Fatihah untuk 1000 kali, maka itu adalah syaitan. Di sini bukti syaitaniyah bukanlah pada membaca surah al-Fatihah, tetapi pada mengulanginya dengan jumlah tertentu.

Ukuran ini hendaklah dilakukan terus-menerus. Ini kerana syaitan amat bijak dalam menyusun strategi. Untuk beberapa mimpi yang pertama, ia berpesan kepada sesuatu yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Apabila ia melihat kita yakin bahawa yang ditemui selama ini dalam mimpi adalah orang salih, maka barulah ia berpesan kepada sesuatu yang menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Terhadap soalan kedua, roh yang sudah meninggal dunia akan tetap di alam barzakh dan dia tidak dapat kembali ke alam dunia. Allah berfirman, maksudnya: “Kesudahan golongan itu, apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: ‘Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia), supaya aku mengerjakan amal-amal yang salih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.’ Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada Alam Barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula.” [al-Mukminun, ayat 99-100] 

 Apabila dikatakan terhidu dan terasa kehadiran orang yang meninggal dunia, maka terdapat dua kemungkinan. Pertama, ia hanya kesan psikologi kerana rindu kepada orang yang dikasihi yang telah pergi. Kedua, ia adalah salah satu strategi syaitan untuk merosakkan aqidah. Apabila “terhidu dan terasa” kehadiran orang yang sudah meninggal dunia, akan timbul tanda tanya, kenapa sedemikian? Kepercayaan masyarakat, termasuk sebahagian para agamawan, akan menjawab: “Rohnya tergantung antara alam dunia dan alam barzakh! Kamu perlu melakukan amalan tertentu untuk membebaskannya.” Maka mulalah kita melakukan zikir, selawat, yasinan, korban dan pelbagai lagi untuk membebaskan roh yang disangka tergantung antara dua alam tersebut. Akhirnya berjayalah syaitan untuk merosakkan aqidah umat Islam kerana kita melakukan ibadah bukan kerana Allah, tetapi kerana kepercayaan kurafat.


Ingat! Syaitan tidak menyesatkan manusia dengan mengajak kepada apa yang jelas diketahui salah. Tetapi ia mengajak kepada sesuatu yang disangkakan betul tetapi sebenarnya salah.   

SUmber http://hafizfirdaus.com

0 Response to "Mimpi dan Tehidu Bau Arwah Ibu yang telah meninggal Dunia"

Post a Comment