BAJET 2015: Ini hasrat dan harapan anda
KUALA LUMPUR: Harapan rakyat Malaysia setiap kali menjelang hari pembentangan bajet tahunan negara tentunya meliputi pelbagai aspek kelangsungan ekonomi.
Antara perkara yang terlintas dalam pendapat mereka apabila ditanya tentang perkara yang diinginkan adalah soal pendidikan, pemilikan hartanah, kawalan kos sara hidup yang meningkat dan juga jaminan masa depan. Berikut adalah kompilasi beberapa hasrat rakyat negara ini dari pelbagai latar kehidupan:
“Perbanyakkan geran-geran penyelidikan dan permudahkan syarat permohonan untuk pensyarah supaya kami dapat menjalankan penyelidikan yang berterusan dan berkualiti. Sebagai penjawat awam, tentu sekali pemberian bonus sekurang-kurangnya sebulan amat diharapkan supaya penerima dapat memanfaatkannya untuk menstruktur semula kewangan.”
MOHD. HARRISZAMANI ABU BAKAR
Penjawat Awam
“Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dianggap sebagai salah satu usaha kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah, namun ia belum mencapai matlamat kerana unit yang ditawarkan adalah terhad berbanding sejumlah besar rakyat berpendapatan sederhana dan rendah yang tidak berpeluang dan tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Aplikasi system GST dalam bidang pembinaan diharap tidak akan memberi implikasi yang meningkatkan kos pembinaan seterusnya mengakibatkan pihak pemaju terpaksa menaikkan harga rumah. Ini member bebanan kepada pembeli. Semoga isu ini dipandang serius oleh kerajaan.”
SHARIFAH FARIDA ANUM SYED JAMALIL AL-ATTAS
Arkitek
“Saya mempunyai dua harapan besar bagi Bajet 2015. Pertama ialah peruntukan dana untuk pendidikan bagi mereka yang kurang berkemampuan terutamanya golongan anak yatim. Ini boleh dilakukan dengan membangunkan sebuah dana pendidikan buat mereka. Kedua pula ialah peruntukan yang lebih banyak untuk pembinaan projek perumahan kos rendah bagi golongan berpendapatan rendah.
“Kedua-dua ini perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat kerana berdasarkan pemerhatian saya, golongan atasan juga selama ini mempunyai ‘akses’ untuk menikmati manfaat tersebut.”
KAREN EREENA LIM
Pegawai Pembangunan Perniagaan
“Kerajaan perlu mengenal pasti perubahan sosial dan ekonomi yang diperlukan demi kelangsungan industri perfileman tempatan. Bajet yang diperuntukkan sebelum ini sudah banyak dan warga penggiat seni tidak ada masalah dengannya, cuma mungkin bajet itu diagihkan secara rawak tanpa tidak tertumpu pada bahagian yang khusus memerlukan perubahan.
“Walau apapun yang bakal dibentangkan dalam Bajet 2015, harapan saya agar ia dapat akan turut memberi perhatian kepada pembikin filem yang berpotensi membawa dunia perfileman tempatan ke aras lebih tinggi. Komitmen kerajaan dalam pembentangan bajet ini saya harap akan disertai komitmen terhadap pelaksanaan polisi.”
SOFIA JANE HISHAM
Pelakon/Penggiat seni
“Bajet 2015 perlu memberi tumpuan kepada golongan kelas pertengahan. Kumpulan berpendapatan sederhana ini, sebagaimana yang kita tahu, sering sahaja terlepas daripada manfaat program Bajet sebelum ini. Golongan ini tidak layak mendapat bantuan BR1M namun dengan gaji yang mereka perolehi, sebenarnya meletakkan mereka dalam garis ‘miskin urban’. Antara yang boleh dibuat adalah menilai semula potongan cukai ataupun pemberian token khas.”
RAHAYU YUSOF
Pekerja swasta
“Harapan saya ini mewakili rakyat Malaysia yang meraih pendapatan dengan bekerja sendiri berasaskan skil dan pengetahuan. Saya berharap agar Bajet kali ini memperkenalkan lebih banyak langkah-langkah konkrit untuk menyerap impak kenaikan kos sara hidup yang melonjak. Untuk memastikan golongan seperti saya lebih gembira adalah dengan pemberian insentif atau subsidi Internet. Ramai rakyat Malaysia yang bekerja sebagai penulis bebas, pengarang dan pekerja kreatif boleh mendapat manfaat daripadanya. Sehubungan itu, saya juga berharap agar kualiti dan kepantasan capaian Internet di negara ini dipertingkatkan.”
YEO LI SHIAN
Penulis bebas
“Alangkah menariknya kalau peruntukan bajet bagi pembelian buku dinaikkan. Melalui pemberian baucer yang nilainya lebih tinggi, golongan pelajar tentunya boleh menarik sedikit nafas lega. Harga buku sekarang ini semakin meningkat, lebih-lebih lagi buku rujukan bagi bidang pengajian tertentu seperti kejuruteraan, pembangunan teknologi dan perubatan. Selain itu, saya berharap agar kerajaan turut merancakkan sektor perkhidmatan dan bidang kreatif melalui pelan pembangunan yang berterusan kerana bidang ini merupakan pilihan kerjaya generasi semasa.”
ZULEZWAN ABD. MALIK
Penuntut universiti
“Harapan saya supaya kerajaan kaji semula impak pengurangan subsidi harga petrol. Pengurangan tersebut tentunya mempunyai sebab tersendiri untuk masa depan negara, maka rakyat perlu ‘ditenangkan’ dengan pengenalan langkah-langkah kawalan oleh kerajaan bagi membendung kesan rantaian kenaikan harga barangan. Jika itu tidak dilakukan, ia tentunya meresahkan golongan peniaga dan seterusnya pengguna. Carilah penyelesaian alternatif agar kos pengurangan subsidi itu tidak ditanggung oleh rakyat.
"Pada masa yang sama, saya berpendapat kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi memperkasakan penglibatan Bumiputera dalam perniagaan dengan menyediakan latihan kemahiran, bantuan modal dan model kelangsungan bisnes yang lebih mesra usahawan."
FARAH EMILLIA ZAINORDIN
Peniaga
0 Response to "BAJET 2015: Ini hasrat dan harapan anda"
Post a Comment