Lelaki maut ketika lari dari sekatan polis

ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan suspek yang remuk selepas merempuh sebuah jentolak ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya polis di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di sini, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
MELAKA: Seorang lelaki dipercayai penjenayah maut selepas kereta yang dinaikinya merempuh sebuah jentolak ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya polis di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbongan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, seorang anggota polis trafik berpangkat koperal turut cedera di bahagian kaki dan tangan selepas cuba menahan kenderaan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Razali Bakar, berkata sebelum kejadian, kereta PROTON Persona dinaiki dua lelaki tidak berhenti ketika sekatan jalan raya yang dijalankan di Jalan Laksamana di sini.
Beliau berkata, hebahan kemudian dibuat kepada semua petugas sebelum anggota trafik berkenaan mengesan kereta terbabit di Jalan Syed Abdul Aziz sebelum cuba menahannya.
"Anggota polis berkenaan yang menaiki motosikal peronda kemudian telah dihimpit lalu terjatuh menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Razali berkata, kereta berkenaan kemudian memecut ke arah Limbongan sebelum terbabas dan merempuh sebuah jentolak yang sedang menjalankan kerja pembesaran jalan dan parit di kiri jalan.
Beliau berkata kenderaan itu kemudian terbakar sebelum pengendali jentolak tersebut menyimbah lumpur bagi memadam kebakaran.
"Hasil pemeriksaan polis mendapati seorang penumpang yang tersepit maut manakala pemandu kereta mengalami kecederaan parah akibat rempuhan itu," katanya.
Katanya, polis turut menemui beberapa bungkusan serbuk putih dipercayai dadah dan beberapa peralatan seperti kapak, parang, pemutar skru dan pemotong kabel disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.
"Polis belum mengenal pasti identiti kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit," katanya.
Lelaki yang cedera parah serta anggota polis berusia 45 tahun berkenaan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
- BERNAMA

0 Response to "Lelaki maut ketika lari dari sekatan polis"

Post a Comment