Bajet 2015: Pemberian Habuan Dalam Bajet Tarik Minat Rakyat

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- 'Goodies' atau habuan dalam bajet adalah perkara yang menjadi tarikan kepada rakyat untuk mendengar sesi pembentangan Bajet 2015 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat esok, kata seorang ahli akademik.



Pensyarah ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Dr Shazali Abu Mansor berkata pemberian habuan dalam setiap kali pembentangan bajet sudah menjadi fenomena biasa menyebabkan rakyat lebih berminat kepada pemberian 'goodies' berbanding dengan isu pengurangan cukai atau defisit bajet.

"Semasa pembentangan bajet rakyat akan bermain teka-teki sambil memikirkan apakah tawaran yang sedang menanti mereka contohnya pemberian bonus dan jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sama ada dinaikkan atau sebaliknya.

"Ini kerana perkara-perkara seperti itu tidak termaktub dalam bajet maka rakyat terus tertanya-tanya sama ada 'ya' atau 'tidak'... sekiranya ia sudah termaktub pasti bajet dilihat tidak menarik," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Shazali berkata pengurangan subsidi yang dilakukan kerajaan adalah untuk membantu negara supaya tidak berlaku ketirisan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara ke arah lebih positif.

Seorang pegawai akaun Nur Syahida Radzali berkata pemberian habuan dalam bajet amat perlu untuk mengalakkan rakyat supaya terus berusaha memajukan ekonomi negara namun harus memenuhi kepentingan semua pihak.

"Bajet yang bagus adalah merangkumi semua keperluan rakyat tidak kira mereka (rakyat) bekerja dalam sektor swasta atau awam kerana setiap daripada mereka ini menyumbang kepada pendapatan negara.

"Saya mengharapkan pembentangan bajet esok akan memberi ganjaran yang lebih kepada seluruh rakyat untuk menjalani kehidupan lebih selesa tanpa perlu ada rasa bimbang," katanya.

Beliau berkata sebagai rakyat adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu kerajaan dengan tidak hanya mengharapkan subsidi kerajaan semata-mata sebaliknya berusaha untuk memajukan diri.

Dalam pada itu, Nur Syahida berkata rakyat juga perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat serta bijak dalam menguruskan kewangan khususnya bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Pembantu akaun Nor Hashidah Ismail Tang bagaimanapun berpendapat bajet bukan hanya memberi tumpuan kepada pemberian habuan semata-mata sebaliknya pengurangan kos sara hidup rakyat.

"Rakyat semakin bijak mereka mahu lebih tahu mengenai apakah cadangan yang dilakukan kerajaan untuk menampung peningkatan kos sara hidup terutamanya di kalangan generasi muda," katanya.

Beliau juga tidak menolak bahawa rakyat mahukan terbaik daripada kerajaan, bukan hanya menawarkan habuan menarik tetapi ketepatan dalam menuaikan janji kepada rakyat.

"Saya rasa pemberian 'goodies' bukan perkara wajib sebaliknya apa yang dimahukan oleh rakyat itu adalah lebih penting," katanya.

-- BERNAMA

0 Response to "Bajet 2015: Pemberian Habuan Dalam Bajet Tarik Minat Rakyat"

Post a Comment